Latar belakang Dinding keempat

Konsep ini mula-mula dikemukakan oleh Denis Diderot,[3] seorang penulis dan pengkritik dari Perancis yang berkata:

Sewaktu anda menulis atau berlakon, bayangkan bahawa para penonton seolah-olah tidak pernah ada. Bayangkan ada suatu tembok besar yang membentang di depan panggung, memisahkan antara anda dengan penonton, dan berlakonlah seolah-olah tirai penutup tidak pernah diangkat.

Dalam pentas teater, panggung biasanya dibatasi oleh tiga sisi dinding iaitu sisi kiri, kanan, dan belakang. Dinding keempat adalah istilah untuk menyebut dinding bayangan yang membatasi antara para pelakon dengan pihak yang menonton.

Konsep dinding keempat ini dirumuskan Diderot dalam semangat realisme dan naturalisme abad ke-18. Segala bentuk kesenian, termasuk seni teater, harus mencerminkan keadaan yang wujud seadanya. Pertunjukan teater harus realistik seakan-akan cerita yang disampaikan turut berlaku di dunia nyata. Menciptakan dinding keempat adalah cara agar para aktor tetap menupu perhatian dan menghayati watak dalam lakonan. Penonton juga jadi boleh hanyut menyaksikan cerita yang ditampilkan.

Diderot membuat usulan seperti itu mungkin kerana pengalaman dengan pementasan teater di zaman sebelumnya, mulai dari Yunani Kuno hingga ke zaman William Shakespeare pada abad ke-17, terlalu kasar dan kurang elegan di mana para pelakon sering sekali turun ke barisan penonton berbisik kepada mereka, meminta memegangkan atau menyembunyikan prop drama, sampai bahkan duduk di pangkuan penonton. (Keadaan ini boleh diibaratkan seakan acara persembahan tertentu misalnya sandiwara lenong dalam kalangan masyarakat Betawi di Indonesia).